Persis


Allah Ta'ala tidak mencipta wajah aku persis/iras Mak dan Abah semata - mata atas alasan saintifik sama ada gene yang sama atau istilah keturunan. Aku percaya wajah aku dilukis begini supaya tiap kali aku merenung wajah aku di cermin, aku akan nampak Mak dan Abah juga disitu. Lalu tidak kira lah ke mana sahaja aku pergi, dan manusia apa yang akan aku jadi, aku akan membawa Mak dan Abah bersama.

Dan apabila kita semakin tua, wajah kita semakin iras ibu dan bapa kita, kerana pada waktu itu mereka mungkin sudah tiada, dan Allah tahu kita rindu; maka kita mahu lihat wajah mereka selalu.

Aku tak tahu nak gambarkan macam mana hebatnya sayang aku pada mereka berdua. Maafkan aku sebab tak jadi anak yang baik, tapi InsyAllah akan cuba untuk jadi yang lebih baik dari hari ke hari.

Hari ini 16 Oktober 2012, iaitu hari kelahiran aku. dan ini bermakna tarikh keramat 21 dan 31 Oktober makin dekat, ya Allah rindunyaa tak terkata.. Mungkin Allah takdirkan jalan hidup aku begini supaya aku lebih menghargai insan yang masih bernyawa. Al-Fatihah buat Abah..

"Kalau rindu abah, baca surah Yaasin.." - Ini pesanan terakhir abah sebelum berangkat ke Kota Mekah.

Kini aku hanya ada satu sebab untuk terus kuat berdiri di Bumi Allah ini, walau rapuh mana kaki dan hati ini, walau teruk mana aku jadi nanti, ada satu pegangan yang akan aku simpan sampai mati..

Kerana aku punyai seorang Ibu yang masih bernafas lagi.

... dan aku berjanji dengan diri aku akan setia berada disisi Mak walau jauh mana aku terpaksa pergi, ini janji aku dengan diri aku dari 31 Oktober 2010 sehingga tarikh ajal aku sampai nanti. InsyAllah.

Sekali lagi, Al-Fatihah..

Salam Aidiladha Semua!

Kombinasi yang tak menjadi

Aku percaya pada pegangan bahawa tiap satu luka itu pasti lebih memulihkan. Jadi untuk apa kita kecewa, kerana bergerak sendiri itu lebih baik dari sudut hakiki mahupun duniawi. Hidup ini terlalu pendek untuk dipenuhi dengan kekecewaan, terlalu singkat untuk dipanjangkan, dan terlalu rumit untuk dihuraikan. Tapi aku tetap aku; berdiri disini untuk menjadi aku yang aku.

Tiada lambakan sajak, alunan irama merdu bersama lagu, juga tiada seni kata puitis atau cerpen dramatis untuk buat kau mengerti aku, kerana aku yakin dengan pendirian aku. cukup lah dengan adanya aku; berdiri disini bersama hati yang beku; dan buat kau faham semua itu.

Kimia yang pada mulanya cantik molek bersatu kini bertukar menjadi asid yang maha pekat, berbisa; dalam diam ia terhakis, menunggu masa nak habis. Mujur ada si peneutralisasi pilu. Namun aku tetap murung, berselindung bagai mengkarung yang terkurung. Kerana aku tak seperti si pemakai baju kurung.

Konklusi basi yang aku pasti ialah persepsi manusia kini tidak lagi seperti para anarkis positif yang mampu mengerti aku. tapi realitinya lebih condong ke arah negatif. Tiada lagi mimpi seperti hidup dalam dunia fantasi yang bertemakan taman firdausi, kerana yang tinggal hanyalah sebuah kehidupan yang lengai dan beberapa pasang kombinasi yang nyatanya tidak menjadi.

"Seandainya terpisah, tak usahlah gelisah 
Walau dalam hati rasa marah 
Namun aku masih berserah; 
Kerana kita masih mentah"

Merancang Kegagalan



Terhenti sebentar, 
Hirup kopi, 
dan terfikir ...
Kehidupan ini tersedia dua opsyen,
Sama ada kita gagal merancang atau merancang kegagalan.
Semua dalam genggaman. 

Pecut graviti,

Pulun stratergi, 
Perhati, semetri,
Tinggal sisa sasi baki, 
Kenang objektif visi dan juga misi,
Hanya berbekalkan puisi basi, 
Dunia dan fantasi. 

Kau hanya perlu ubah cara pemikiran kau, 

dan aku percaya kau mampu ubah dunia.

4 Kuota. Untuk aku.

Untuk kita, untuk dia,
Demi mereka.
Semoga berjaya dunia!