Tak Terlewat.

Pada mulut-mulut kosong yang pekik membising;
Waktu tak pernah meninggal dalam tuntutan.
Walau titik mula penuh hitam dari putih;
Atau mula langkah selepas sakit-pedih.

Meski saat jasad beku dipanggil Tuhan--

Tak terlewatkan.

Jujurnya ..

Indahnya, bukan manis dibuat-buat. 
Kerasnya, bukan lantang dipekik kuat.
Marahnya, bukan dendam cuba dipahat.
Teruja aku cuba mengimbang;
Tegasnya pendirian kamu.

Menjadi Yang Cantik

Bila ada orang yang kata "jangan pandang rupa, pandang hati" pada kau, berhenti sebentar. Tarik nafas dalam-dalam; hembus. Kemudian tanya dia semula (dalam nada tenang), "kamu dari planet mana?" 

Entah-entah muncul dari ceruk hutan agaknya.

Hey, come on.
Mana ada orang suka benda yang tak cantik?
Mana ada orang suka benda yang bila dia nampak, dia rasa tak senang, nak terajang terbang melayang? Mana ada?

Kerana menjadi yang cantik itu satu anugerah Tuhan yang tak ternilai rasanya.

No wonder-lah,
Semua pun nak jadi cantik.
Kejar rupa.
Kejar dunia.

Tapi ingat,
Ada orang Tuhan uji dengan nikmat.

Selangkah demi selangkah.


InsyAllah!

Sejenak

Telah ku-hirau;
endahkan raut di pandangan laut,
Sepi ku-igau;
bayangnya karut gagah dipaut.

Ah.

Malam Yang Mati

Ada orang-orang yang membicarakan tentang alam,
Tapi aku rindu angin malam yang nyaman.

Ada orang-orang yang membicarakan tentang keamanan,
Tapi aku rindu tenang malam yang hilang.

Sepertinya wujud malaikat-malaikat kecil,
Yang tak lenguh-lenguh menulis,
Dan tak putus-putus merakam,
Tiap gerak dan akal yang nakal
Tiap niat dan amal yang tinggal
Tiada satu yang terlepas.

Yang hitam dan putih;
Yang jatuh dan bangun;
Yang gagah dan lemah;
Yang tunduk dan angkuh;
Yang patah dan tumbuh;
Khilaf.

Kita butuh waktu yang sia-sia kita buangkan,
Waktu yang nyaman.
Waktu yang aman.

Punca Senyum

Jadi punca seseorang itu menguntumkan sebuah senyuman. Kerana senyuman yang paling ikhlas itu adalah yang lahir tanpa kesedaran. Sebarkan kegembiraan. Lakukan kebaikan rambang. Kerana tak semua mampu menggembirakan orang lain. Dan awak cukup bertuah, punyai seribu satu sebab untuk berdiri teguh dengan satu perasaan yang senang, tenang dan menang.

Jadi kenapa tidak, awak kongsikan ketenangan dan kegembiraan itu pada orang lain. Ketenangan yang abadi adalah apabila kita bersama orang-orang yang turut tenang. Semoga dengan kebaikan rambang itu anda mampu menjadi penyebab orang lain tersenyum walau dalam keadaan sukar.

Siapa tahu, suatu hari nanti mereka akan jadi penyebab anda tersenyum dikala sukar? Atau mereka akan jadikan awak, penyebab mereka tersenyum saban hari. Siang, petang dan malam.

Cukup manis, dan bertuah.

Senyum, dengarnya mudah tapi adakalanya susah.

Hilang Semangat

Dan kadangnya juga;
Bila kau mula menyesal dan sesat
Putus asa itu datang dekat-dekat.
Makin lama makin rapat.
Seolahnya;
Kau dihimpit rasa kesal
yang teramat sangat.
Dan mula bosan dengan penat
Hilang semua kudrat dan keringat.
Rasa malas; yang amat pekat.

Perindu Maya

Syret syret;
Tak jemu aku heret.
Leret jari di skrin penyet.
Potret kaku;
Sama momen paling padu.
Satu-persatu aku tekan;
Butang hati itu.

Mati dalam secawan kopi

Tersisip senaskah buku ditepian meja tinggi
Yang aku belek tiap hari tanpa jemu dan basi
Peneman sisi yang paling ada tanpa dengki dan iri hati

Dalam bunyi-bunyi bising yang berlalu sepi ini,
Aku selami, dalami, memahami dan memerhati
Bunyi-bunyi riuh antara manusia yang punya segala;
Yang merasa megah dan berkuasa kerana harta
Yang berdiri tinggi kerana wujudnya senioriti
Yang bertelaku sendiri lebih gemar menyendiri
Yang tak mampu berdikari; datangnya ditemani kroni
Yang minta ditabik sedang dia sering mendabik
Yang sibuk bercerita tentang tender juta-juta; dan
Yang entah dari mana, masih hijau tak kenal dunia.

Di balik kubikel-kubikel ini terselit satu misi;
Sedang yang lalu-lalu ini punya niat yang sama--
Yang segala-gala ini cuma satu hala tujunya;
Mencuri ruang dan waktu, tuk nikmati secawan kopi,
Walau terpaksa gadaikan emas dan belati.

Dan aku .. disini saban hari;
Menghabiskan sisa-sisa detik yang menghimpit
Menentang waktu mencari angan dan impian
Mengutip pengalaman di tepian jalanan
Meratah masa senggang mencari uwang
Dan semua ini bikin aku ..
Mati dalam secawan kopi.

Kerana Tuhan Tahu Kita Mampu

Pada tiap malam yang sepi meratah mimpi di alam sunyi
Pada tiap siang yang melarut dalam pandangan raut;
Malamku punya sepasang telinga,
Siangku punya sepasang mata.

Pada tiap suara yang menampar gegendang bunyi
Pada tiap momen yang menjelma bila kau tiba;
Mindaku penuh dengan hal-hal yang telah jauh
Akalku rapuh dengan hal-hal yang tak teguh

Pada tiap lagak dan gaya yang persis arjuna beta
Pada tiap gerak dan tingkah yang tak banyak bezanya
Tenangmu ada dalam setiap detak yang bernafas;
Jenakamu ada dalam setiap gelak yang berdekah

Tuhan,
Jika benar ada yang persis dia;
Kau pisahkanlah semua momen-momen manis;
Biar tercerai sama senda dan esak tangis.

Aku mohon, Ya Tuhan;
Wujudkan garis-garis halus
Atau tembok karotan tinggi
Sama kubikel-kubikel kukuh
Yang buat aku makin teguh;
Bukan merapuh mudah ditempuh.


Untuk Kawan Yang Sedang Kecewa

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Bangkitlah, dalami puisi yang aku catat
Tuhan itu recana-Nya Maha Hebat.
Percayalah, hujung nanti ada berkat.

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Dunia ini cuma penuh nikmat.
Tuhan tahu apa yang Dia buat.
Senyumlah penuh kudrat ..
Buang semua kata azimat.

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Aku cuma harap bahu ini bisa terbang.
Agar ia bisa ada saat kau perlu.
Untuk esak tangis kamu yang tak berlagu.

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Hati dan telinga ini milik Tuhan, sayang.
Dan ia juga bisa jadi milik kamu,
Guna bila kamu mahu dalam pilu..

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Sedarlah, dunia ini indah.
Cinta itu cuma satu anugerah.
Usah kau resah gelisah,
Aku yakin kamu gagah lagi megah!

Dan untuk kawan yang sedang kecewa;
Berdirilah. Senyum walau dalam payah.
Kerna tiap titik kegagalan itu adalah ---
Satu garis permulaan yang indah!

Wahai kawan yang sedang kecewa!
Nanti bila kamu baca apa yang aku tulis,
Seka air mata dan esak tangis!
Senyum dan aku cuma mahu kau kata;
"Tenang, manusia memang ada yang bengis!"

Selamat malam,
Wahai kawan yang sedang kecewa;
Moga mimpi indah menyelimuti tidurmu.
Aku disini sentiasa ada, selalu.


- Di Kamar Yang Asing, 4.41 pagi, 26 Mac 2014

Kerana Kita Orang Derita

Apakah kau menangis, aku bertanya
Ada air yang mengalir basah di pipiku,
Kerana di setiap air mataku yang jatuh
Adalah tangis kau;
Dan di setiap gelakku yang berdekah
Adalah tawa kau.

Di balik kita,
Ada bayangan dewi Yunani;
dan ada bulan tanpa mati.
Bersama mitos-mitos yang terakam;
dan cerita-cerita indah tentang mimpi anak manusia

Di dalam kota yang hidup oleh bunyi yang sunyi ini,
kita meraikan malam-malam dengan bicara-bicara Cinta.
Kegelapan di luar sana adalah bukti;
kewujudan cahaya, atau barangkali mata
kita seringkali dibutakan oleh silaunya.

Lalu kita dakap setiap momen; setiap rasa
Setiap yang merapat di hati.
Tuhan tak pernah meninggal
Kita adalah setiap dariNya.

Kerana kita orang derita;
dan kita, adalah yang bernama Cinta.


- Shafiq Halim, Pinggir Malam Yang Mati

Melankolik

Adakah kau juga berdiri di garisan yang sama
Tegak memacak seperti aku yang kekaburan..
Kerana tiap ruang-ruang kosong yang tercipta,
Ada sendu yang aku pendam di balik tawa..
Ada rindu yang aku pikul di balik dada.

Di malam itu,
Kita bicarakan tentang apa-apa yang kita rasa;
Tentang semua yang kita lalui, yang terjadi tiap masa.
Dan aku adalah aku; engkau adalah engkau.
Kita adalah kita yang sebenar-benarnya;
Tanpa topeng-topeng pelik yang jelik,
Tanpa momen-momen janggal yang tinggal,
Tanpa jarak dan ruang sunyi - terisi.

Tapi hari ini - saat ini,
Aku merasakan sebuah perasaan melankolik yang abadi,
Tiada yang terdaya melainkan sisa-sisa rasa..
Ternyata yang aku cuba selama ini cumalah sia,
Yang selalu di ingin makin hari makin dingin..

Bedanya kita kini,
Mungkin aku saja yang cuba fahami..
Sedangkan kau tak pernah mengerti.
Kita adalah secebis kenangan dalam ruang-ruang sepi.
Tak bisa ketemu ...
Tapi selalu bisa merenung.

Aku 'kan tenung; terus merenung tanpa raung.
Kerana kita, adalah sebuah kita yang kita cipta.

Peneutralisasi Pahit

Seringkali bila aku mula rasa sakit;
Dan sedang cuba untuk bangkit,
Muncul satu bayang menghimpit.
Rapat-rapat - dekat menyelit.
Seolahnya kehadiran itu bagai --
Peneutralisasi perit.
Pemanis yang pahit.

Dulunya beda,
Angkuhnya aku cuma mahu berlegar-legar dikala sepi,
Berenang-renang di dalam kolam sunyi,
Berjalan sendiri sekadar memerhati;
Dikala diri dihuni sakit yang tak terperi.

Akhirnya aku, 
Tewas dalam senyuman yang kamu beri,
Lemas dalam lautan ceria yang kita renangi,
Sesat dalam jalan yang kamu terangi.

Aku adalah manusia yang dimakan janji,
Janji yang aku patri mati di hati,
Anehnya bila --
Janji yang terpatri dihati itu;
Ghaib bila kamu muncul disisi.

Kadangnya aku tak larat,
Kepingin juga tuk rehat.
Tapi aku tak tahu kenapa;
Ada sesuatu yang melekat;
Memahat sekelumit kudrat.
Yang buat aku tetap kuat,
Walau tak pernah rehat dan --
Tak penat-penat.

Nota kaki: Pincang akal dan jiwa,
kerana gagal bertalu-talu. 
Tercetus rasa yang tidak dipinta; 
disimpan diam menyiksa. 
Diluah pula mati kecewa.

Jangan

Membesar ini bukanlah perkara yang mudah. Growing up is never easy. Tambahan lagi bila kau mula menjejak puluhan tahun. Walaupun kamu cuma duduk dan goyang kaki tanpa keluar bersosial, masalah itu tetap muncul. Entah apa jenis masalah yang akan mendatang itu tak boleh nak dijangka. Mulut-mulut orang keliling memang macam celaka. Kau takkan boleh tutup kecuali kau bunuh mereka.

(Reload sniper)

Ehem. Untuk orang seperti aku, adalah sangat mengganggu bila kenangan lama diungkit kembali. Kerana bagi aku, kenangan akan tetap jadi kenangan. Kenangan yang aku susun kemas-kemas dalam hati, dan membentuk kepingan rindu yang disimpan disudut memori. Itu adalah kisah-kisah masa laluku, dan masa depan adalah realiti yang perlu dihadapi. Bila aku kata aku rindukan sesuatu (yang di masa lalu), tak bermakna aku inginkan sesuatu itu berada disisi aku. 

Macam kalau aku kata aku rindu Arwah Abah, tahap gaban punya rindu lah. Itu tak bermakna aku tak rela dengan pemergian dia. Aku tetap redha, redha se-redha-redhanya. Dan yang paling penting, aku tahu dimana limit rindu aku. Batas aku. Aku adalah orang yang sangat menjaga limitasi dalam apa-apa jua yang berkaitan dengan hati dan perasaan.

Dan bila aku kata aku rindu kau, tak bermakna aku nak kau ada kembali bersama aku. Bagi aku rindu ni sangat abstrak dan tiada sempadan. Kau boleh rindu siapa-siapa sahaja yang kau nak. Rindukan keluarga, saudara-mara, kawan-kawan, guru-guru hatta akak jual nasi lemak pun kau boleh rindu. Padu!

Well, macam aku cakap kenangan akan tetap jadi kenangan. Kau adalah kesalahan aku yang paling besar. Yang sepatutnya aku hindar. Kenapa pula aku nak ulang kesalahan yang sama untuk kali kedua? Jadi dunggu untuk patah balik dan rasa benda yang celaka? Rasa yang aku dah buang lama?

Tell me why.

Rindu adalah rindu, dan tak semua rindu itu ada penawarnya.
Aku bersyukur pernah kenal kau, sebab kau dah banyak mengajar aku.
Melalui kau, aku belajar sesuatu yang diluar 'kelas'.
Dan aku tak pernah menyesal, itu prinsip aku.
Tiap apa yang terjadi itu adalah pengalaman dan pengajaran.

Kadang-kadang rindu itu indah, bila ia buat kau hilang gundah.
Kadang-kadang rindu itu perit, bila ia buat kau rasa sakit.
Kadang-kadang rindu itu tawar, bila ia buat senyummu hilang mekar.
Kadang-kadang rindu itu sampah, bila ia buat kau naik menyampah.

Jangan disentuh aku,
Jika kau tak ingat kau yang membuangku dahulu.
Jangan diungkit kisah lalu,
Jika kau tak rasa sakit-perit aku dahulu.

Tak apa, aku okay.
Aku dah lupa dah pun.
Kau tetap kawan yang aku hormat sebagai abang.
Semoga berbahagia bro!


Nota Kaki: It was so sudden and I was damn shocked. Memang aku sedikit awkward bila berdepan dengan kau tapi itu tak bermakna aku belum move-on. Tutup buku disini lah ya?

Menambat Tembok

Pernah menabung rasa? Menyimpan cinta? Memendam rindu?

Anehnya bila pada suatu masa dahulu kau bersungguh-sungguh menabung sebuah rasa, berusaha apa yang termampu berhempas pulas merentasi ombak duri, gigih mempertahankan rasa yang kau senyap-senyap bina. Rasa yang kau sendiri cipta tanpa kau tahu pengakhirannya gimana.

Kemudian tiba-tiba, tup! Rasa itu hilang dalam sekelip mata. Iya, rasa yang kau pertahankan bagai nak gila. Rasa yang kau kumpul-kumpul hingga menjadi sebuku rindu yang padu itu disumbat dalam peluru pepandu lalu dilepaskan tanpa arah tuju. Segalanya ghaib bersama bunyi letupan rindu itu.

Dalam masa itu, kau mula sedar bahawa permainan takdir ini masih ada sisa-sisanya yang tertinggal. Cerita yang masih berpusing dalam lingkungan yang sama. Bagai dalam satu bulatan yang besar, dan kau berada didalamnya untuk melihat dan berjumpa dengan benda-benda yang sama berkali-kali hingga mangli dan lali. Sampai suatu tahap, kau mampu menjangka siapa dan apa berada dihadapan sana. Cuma kau belum temui kata yang paling tepat untuk dilontarkan sama perasaan yang kononnya ditabung-tabungkan selama ini.

Menariknya cerita ciptaan Tuhan ini, kita sangka sudah tamat tapi sequelnya masih lagi bersisa. Kita mati-mati rasa kita dah get over, tapi sebenarnya Tuhan masih mahukan kita berjumpa dan bertemu dalam kitaran yang sama atas sebab-sebab yang kita sendiri tak tahu.

Cuma bezanya janji temu ciptaan Tuhan ini dihadiri oleh barisan tembok-tembok besar yang aku sendiri tambat sepenuh kudrat disekitar daerah hati selepas aku ditinggalkan tanpa belas kasihan. Betapa susahnya aku bangkit untuk memahat sekelumit kudrat itu, hanya Tuhan saja yang tahu.

Maafkan aku andai kerasnya hati ini akan mengguris hati kamu, aku cuma berharap agar kamu memahami aku sepertimana aku berjaya memahami kamu-kamu ini dahulu. Walau perit. Walau sakit.

Kita akan cuba untuk cari kita yang dulu, kita yang tanpa tabungan rasa aku itu.
Andai ini takdirNya, sama-samalah kita berdoa agar segalanya dipermudahkan..

Lagi pula, aku sudah punya jiwa yang baru.
Hidup yang baru.
Rasa yang baru.
Senyum yang baru.
Walau tabungannya tak seperti dulu,
Tapi aku tahu,
Siapa yang aku mahu.
Walau aku tak tahu,
Siapa yang 'dia' mahu.

(yang ini akan aku ceritakan di dalam entri yang lain)

Selamat malam.

Kerana kata

Kerana tak bisa aku temukan
Kata yang paling sepi
Aksara yang paling sunyi
Kulemparkan hati, agar sendiri.

Kerana tak bisa aku ucapkan
Kata yang paling rindu
Senyum yang berlegar selalu
Kubiarkan hasrat terbelenggu.

Kerana tak bisa aku ungkapkan
Kata yang paling cinta
Rasa yang kita punya
Kupasrahkan saja; dalam sebuah doa.