Untuk Kawan Yang Sedang Kecewa

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Bangkitlah, dalami puisi yang aku catat
Tuhan itu recana-Nya Maha Hebat.
Percayalah, hujung nanti ada berkat.

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Dunia ini cuma penuh nikmat.
Tuhan tahu apa yang Dia buat.
Senyumlah penuh kudrat ..
Buang semua kata azimat.

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Aku cuma harap bahu ini bisa terbang.
Agar ia bisa ada saat kau perlu.
Untuk esak tangis kamu yang tak berlagu.

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Hati dan telinga ini milik Tuhan, sayang.
Dan ia juga bisa jadi milik kamu,
Guna bila kamu mahu dalam pilu..

Untuk kawan yang sedang kecewa;
Sedarlah, dunia ini indah.
Cinta itu cuma satu anugerah.
Usah kau resah gelisah,
Aku yakin kamu gagah lagi megah!

Dan untuk kawan yang sedang kecewa;
Berdirilah. Senyum walau dalam payah.
Kerna tiap titik kegagalan itu adalah ---
Satu garis permulaan yang indah!

Wahai kawan yang sedang kecewa!
Nanti bila kamu baca apa yang aku tulis,
Seka air mata dan esak tangis!
Senyum dan aku cuma mahu kau kata;
"Tenang, manusia memang ada yang bengis!"

Selamat malam,
Wahai kawan yang sedang kecewa;
Moga mimpi indah menyelimuti tidurmu.
Aku disini sentiasa ada, selalu.


- Di Kamar Yang Asing, 4.41 pagi, 26 Mac 2014

Kerana Kita Orang Derita

Apakah kau menangis, aku bertanya
Ada air yang mengalir basah di pipiku,
Kerana di setiap air mataku yang jatuh
Adalah tangis kau;
Dan di setiap gelakku yang berdekah
Adalah tawa kau.

Di balik kita,
Ada bayangan dewi Yunani;
dan ada bulan tanpa mati.
Bersama mitos-mitos yang terakam;
dan cerita-cerita indah tentang mimpi anak manusia

Di dalam kota yang hidup oleh bunyi yang sunyi ini,
kita meraikan malam-malam dengan bicara-bicara Cinta.
Kegelapan di luar sana adalah bukti;
kewujudan cahaya, atau barangkali mata
kita seringkali dibutakan oleh silaunya.

Lalu kita dakap setiap momen; setiap rasa
Setiap yang merapat di hati.
Tuhan tak pernah meninggal
Kita adalah setiap dariNya.

Kerana kita orang derita;
dan kita, adalah yang bernama Cinta.


- Shafiq Halim, Pinggir Malam Yang Mati

Melankolik

Adakah kau juga berdiri di garisan yang sama
Tegak memacak seperti aku yang kekaburan..
Kerana tiap ruang-ruang kosong yang tercipta,
Ada sendu yang aku pendam di balik tawa..
Ada rindu yang aku pikul di balik dada.

Di malam itu,
Kita bicarakan tentang apa-apa yang kita rasa;
Tentang semua yang kita lalui, yang terjadi tiap masa.
Dan aku adalah aku; engkau adalah engkau.
Kita adalah kita yang sebenar-benarnya;
Tanpa topeng-topeng pelik yang jelik,
Tanpa momen-momen janggal yang tinggal,
Tanpa jarak dan ruang sunyi - terisi.

Tapi hari ini - saat ini,
Aku merasakan sebuah perasaan melankolik yang abadi,
Tiada yang terdaya melainkan sisa-sisa rasa..
Ternyata yang aku cuba selama ini cumalah sia,
Yang selalu di ingin makin hari makin dingin..

Bedanya kita kini,
Mungkin aku saja yang cuba fahami..
Sedangkan kau tak pernah mengerti.
Kita adalah secebis kenangan dalam ruang-ruang sepi.
Tak bisa ketemu ...
Tapi selalu bisa merenung.

Aku 'kan tenung; terus merenung tanpa raung.
Kerana kita, adalah sebuah kita yang kita cipta.

Peneutralisasi Pahit

Seringkali bila aku mula rasa sakit;
Dan sedang cuba untuk bangkit,
Muncul satu bayang menghimpit.
Rapat-rapat - dekat menyelit.
Seolahnya kehadiran itu bagai --
Peneutralisasi perit.
Pemanis yang pahit.

Dulunya beda,
Angkuhnya aku cuma mahu berlegar-legar dikala sepi,
Berenang-renang di dalam kolam sunyi,
Berjalan sendiri sekadar memerhati;
Dikala diri dihuni sakit yang tak terperi.

Akhirnya aku, 
Tewas dalam senyuman yang kamu beri,
Lemas dalam lautan ceria yang kita renangi,
Sesat dalam jalan yang kamu terangi.

Aku adalah manusia yang dimakan janji,
Janji yang aku patri mati di hati,
Anehnya bila --
Janji yang terpatri dihati itu;
Ghaib bila kamu muncul disisi.

Kadangnya aku tak larat,
Kepingin juga tuk rehat.
Tapi aku tak tahu kenapa;
Ada sesuatu yang melekat;
Memahat sekelumit kudrat.
Yang buat aku tetap kuat,
Walau tak pernah rehat dan --
Tak penat-penat.

Nota kaki: Pincang akal dan jiwa,
kerana gagal bertalu-talu. 
Tercetus rasa yang tidak dipinta; 
disimpan diam menyiksa. 
Diluah pula mati kecewa.

Jangan

Membesar ini bukanlah perkara yang mudah. Growing up is never easy. Tambahan lagi bila kau mula menjejak puluhan tahun. Walaupun kamu cuma duduk dan goyang kaki tanpa keluar bersosial, masalah itu tetap muncul. Entah apa jenis masalah yang akan mendatang itu tak boleh nak dijangka. Mulut-mulut orang keliling memang macam celaka. Kau takkan boleh tutup kecuali kau bunuh mereka.

(Reload sniper)

Ehem. Untuk orang seperti aku, adalah sangat mengganggu bila kenangan lama diungkit kembali. Kerana bagi aku, kenangan akan tetap jadi kenangan. Kenangan yang aku susun kemas-kemas dalam hati, dan membentuk kepingan rindu yang disimpan disudut memori. Itu adalah kisah-kisah masa laluku, dan masa depan adalah realiti yang perlu dihadapi. Bila aku kata aku rindukan sesuatu (yang di masa lalu), tak bermakna aku inginkan sesuatu itu berada disisi aku. 

Macam kalau aku kata aku rindu Arwah Abah, tahap gaban punya rindu lah. Itu tak bermakna aku tak rela dengan pemergian dia. Aku tetap redha, redha se-redha-redhanya. Dan yang paling penting, aku tahu dimana limit rindu aku. Batas aku. Aku adalah orang yang sangat menjaga limitasi dalam apa-apa jua yang berkaitan dengan hati dan perasaan.

Dan bila aku kata aku rindu kau, tak bermakna aku nak kau ada kembali bersama aku. Bagi aku rindu ni sangat abstrak dan tiada sempadan. Kau boleh rindu siapa-siapa sahaja yang kau nak. Rindukan keluarga, saudara-mara, kawan-kawan, guru-guru hatta akak jual nasi lemak pun kau boleh rindu. Padu!

Well, macam aku cakap kenangan akan tetap jadi kenangan. Kau adalah kesalahan aku yang paling besar. Yang sepatutnya aku hindar. Kenapa pula aku nak ulang kesalahan yang sama untuk kali kedua? Jadi dunggu untuk patah balik dan rasa benda yang celaka? Rasa yang aku dah buang lama?

Tell me why.

Rindu adalah rindu, dan tak semua rindu itu ada penawarnya.
Aku bersyukur pernah kenal kau, sebab kau dah banyak mengajar aku.
Melalui kau, aku belajar sesuatu yang diluar 'kelas'.
Dan aku tak pernah menyesal, itu prinsip aku.
Tiap apa yang terjadi itu adalah pengalaman dan pengajaran.

Kadang-kadang rindu itu indah, bila ia buat kau hilang gundah.
Kadang-kadang rindu itu perit, bila ia buat kau rasa sakit.
Kadang-kadang rindu itu tawar, bila ia buat senyummu hilang mekar.
Kadang-kadang rindu itu sampah, bila ia buat kau naik menyampah.

Jangan disentuh aku,
Jika kau tak ingat kau yang membuangku dahulu.
Jangan diungkit kisah lalu,
Jika kau tak rasa sakit-perit aku dahulu.

Tak apa, aku okay.
Aku dah lupa dah pun.
Kau tetap kawan yang aku hormat sebagai abang.
Semoga berbahagia bro!


Nota Kaki: It was so sudden and I was damn shocked. Memang aku sedikit awkward bila berdepan dengan kau tapi itu tak bermakna aku belum move-on. Tutup buku disini lah ya?