Kerana Kita Orang Derita

Apakah kau menangis, aku bertanya
Ada air yang mengalir basah di pipiku,
Kerana di setiap air mataku yang jatuh
Adalah tangis kau;
Dan di setiap gelakku yang berdekah
Adalah tawa kau.

Di balik kita,
Ada bayangan dewi Yunani;
dan ada bulan tanpa mati.
Bersama mitos-mitos yang terakam;
dan cerita-cerita indah tentang mimpi anak manusia

Di dalam kota yang hidup oleh bunyi yang sunyi ini,
kita meraikan malam-malam dengan bicara-bicara Cinta.
Kegelapan di luar sana adalah bukti;
kewujudan cahaya, atau barangkali mata
kita seringkali dibutakan oleh silaunya.

Lalu kita dakap setiap momen; setiap rasa
Setiap yang merapat di hati.
Tuhan tak pernah meninggal
Kita adalah setiap dariNya.

Kerana kita orang derita;
dan kita, adalah yang bernama Cinta.


- Shafiq Halim, Pinggir Malam Yang Mati

No comments: