Mati dalam secawan kopi

Tersisip senaskah buku ditepian meja tinggi
Yang aku belek tiap hari tanpa jemu dan basi
Peneman sisi yang paling ada tanpa dengki dan iri hati

Dalam bunyi-bunyi bising yang berlalu sepi ini,
Aku selami, dalami, memahami dan memerhati
Bunyi-bunyi riuh antara manusia yang punya segala;
Yang merasa megah dan berkuasa kerana harta
Yang berdiri tinggi kerana wujudnya senioriti
Yang bertelaku sendiri lebih gemar menyendiri
Yang tak mampu berdikari; datangnya ditemani kroni
Yang minta ditabik sedang dia sering mendabik
Yang sibuk bercerita tentang tender juta-juta; dan
Yang entah dari mana, masih hijau tak kenal dunia.

Di balik kubikel-kubikel ini terselit satu misi;
Sedang yang lalu-lalu ini punya niat yang sama--
Yang segala-gala ini cuma satu hala tujunya;
Mencuri ruang dan waktu, tuk nikmati secawan kopi,
Walau terpaksa gadaikan emas dan belati.

Dan aku .. disini saban hari;
Menghabiskan sisa-sisa detik yang menghimpit
Menentang waktu mencari angan dan impian
Mengutip pengalaman di tepian jalanan
Meratah masa senggang mencari uwang
Dan semua ini bikin aku ..
Mati dalam secawan kopi.

No comments: