Di Tapak Yang Asing

Aku ingin tetap disini, di daerah yang nyaman; Segar mewangi.
Terus kekal mekar dan abadi.

Seperti pohon-pohon yang merimbun hidup,
Juga daun-daun yang hijau terlarut,
Kebersamaan itu bakal terlerai
--- berguguran dan mereput, sayang.
Bakal, dan tak tersangkal walau sehandal mana kau kawal.

Semoga waktu kita tak-ter-lewat-kan.
Semoga rasa itu tak-ter-ubah-kan.

 Dan duli-duli yang beterbangan mati itu adalah
-- Satu perjudian oleh makhluk yang hilang akal.



23 Februari 2015, 
3:44 p.m. - Empangan Semenyih

Tanya Pada Masa

Setelah kau puas bertanya-tanya tentang apa tujuan hidup yang tak satu setan pun tahu;
Mari sini manisku,
Di perhentian ini kita masih berdiri longlai dalam sebuah tanya yang mega.

Maka dendangkan impian dan seribu harapanmu;
Kita kan tetap tegak berdiri melihat dedaunan nan mereput
-- jatuh merebah dan berguguran layu;
Takdir dan waktu adalah cas-cas hidup yang tak mungkin mampu disangkal akal.

Perjalanan yang kau tinggalkan ini terlalu jauh!
Tujuh-puluh-tujuh liku tak-ter-jangkau.
Tiga-puluh-tiga titik tak-ter-henti.
Tak-kan-ter-jang-kau.
Tak-kan-ter-hen-ti.


25 Februari 2015, 
12:30 a.m. - Serdang.

Pemuja Cantik

     Dia tersenyum puas melihat hasil potret wanita itu. Siap. Toki mengesat peluh di dahi yang mengalir perlahan. Satu jelingan ringkas pada lengan kanannya, merah.
     "Cantik. Kau akan tetap cantik di sini, Samaya." Telapak tangan Toki di tengah-tengah kanvas, antara dua bukit yang ditutup merah.
     Pintu bilik terbuka. Amran.
     "Dah siap?"
     Toki mengangguk tanpa menoleh.
     "Kau dah boleh kemas. Kejap lagi ada orang nak tengok potret minggu lepas."
     "Okay." Toki bangun sambil mencapai baldi dan menuju ke tandas.
    Tiba di hadapan pintu tandas, Toki menoleh ke penjuru bilik. Beberapa helai surat khabar di lantai itu kelihatan basah. Melekit. Bau hanyir memenuhi ruang bilik namun itu yang menguntum senyuman di bibir Toki.
     "Sekarang kau akan kekal cantik dan tak ter-usik disitu, sayang." Toki melangkah ke tandas dan menadah air panas didalam baldi.
     Amran masuk ke bilik proses melukis dan mewarna milik Toki. 
     "Dah buat kerja tak reti nak kemas.. Aku jugak nak kena jadi kuli macai kau.." Dia membebel sambil mengutip beberapa ketul daging di penjuru bilik dan dimasukkan ke dalam plastik hitam.
     Tompokan darah dan bau hanyir memenuhi kubikel putih di penjuru bilik. Hati, jantung, paru-paru dan beberapa organ lain disimpan di dalam baldi. Beberapa palet warna panas yang telah bercampur dengan darah dikutip dan dikumpulkan untuk proses membersih dan mengenyah bau. Peralatan yang digunakan dikumpulkan dan direndam dalam air rebusan limau nipis. Harum.
     Kelihatan potret Samaya tergantung di tengah-tengah dinding. Namun siapa tahu, ada air mata yang mengalir di sebalik senyuman yang galak dipandang indah. Tidak seorang pun tahu ada derita yang tergantung bersama di kubikel kosong itu melainkan Toki dan Amran.

****************

     Toki memandang pelanggan yang sedang memuja lukisannya. Cantik. Kecantikannya harus dikekalkan, Toki tak mungkin akan biarkan perempuan secantik itu dimakan usia. Masa takkan dapat merampas takhta muda milik dia.
     Amran memandang Toki, mereka bertentang mata. Serentak mereka mengangguk.
     "Awak potret seterusnya, Sa'adiah."

- T A M A T -